Seseorang pemerintah
hendaklah tahu, bahawa bukan semua yang memujinya ikhlas kepadanya. Mungkin
pujian itu datang disebabkan takut kepadanya atau habuan yang diharapkan. Maka
tidak hairanlah jika ramai pemerintah yang dipuji pada zaman dia berkuasa, dikeji
dan dihina pada hari dia kehilangan tahta. Para pengampu juga akan mencari
‘tempat ampuan’ yang baru. Di samping itu, sesuatu yang pasti bahawa setiap
yang mengutuk atau memaki pemerintah secara terbuka, tidak mempunyai keikhlasan
terhadap pemerintah. Pemaki atau pencerca sebenarnya sama seperti pengampu.
Kedua-duanya mengharapkan habuan. Pemaki mengharapkan dengan makian itu dia
diangkat, atau dianggap wira. Lalu habuan akan datang melalui penyokongnya,
atau akan ada kerusi yang diberikan kepadanya.
Para ulama tidak
boleh menjadi pengampu pemerintah. Dalam masa yang sama, mereka tidak diizinkan
syarak menjadi pencerca atau pemaki pemerintah. Mengampu pemerintah dengan
menggunakan nas-nas agama menyebabkan pemerintah tersesat jalan dengan merasai
sentiasa dirinya betul. Apa tidaknya golongan agama pengampu ini yang akan
menyokong segala-galanya. Tanpa perlu berfikir panjang, kerjanya mencari dalil
dan hujah menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Segala
dalil-dalil syarak diputar agar bersesuaian dengan citarasa pemerintah. Mereka
menunggu pemerintah berkokok untuk mereka turut berkokok dengan kokokan yang
sama. Bahkan kokok mereka biasanya ‘melebih-lebih’ dari hadnya.
Para pemaki pula telah bertekad untuk mencari kejahatan pemerintah. Kesalahan
pemerintah adalah kegembiraan hidupnya. Boleh dijadikan modal ucapan. Maka
bersoraklah para penyokongnya. Jika kesalahan tidak dilakukan oleh pemerintah,
dia kecewa. Tidak ada modal nak berucap, katanya. Terpaksa memutar fakta, agar
pemerintah kelihatan salah. Jika ada kebaikan ia mesti disembunyikan. Sehingga
sesetengah pemerintah menjadi fobia dengan Islam disebabkan tindakan mereka.
Sikap ini sangat berbeza dengan akhlak pendakwah yang tidak suka melihat
manusia melakukan kesalahan dan gembira melihat manusia melakukan kebaikan.
Golongan ulama pengampu mengambil langkah menyokong apa sahaja yang dibuat
oleh pemerintah. Mereka biasanya mendapat habuan dunia yang memberangsangkan.
Pemerintah mempergunakan golongan ini sebagai alat menghalalkan segala tindakannya.
Mereka adalah ulama jahat yang banyak mengorbankan agama dan rakyat. Mereka ini
bagaikan lalat yang mencari kesempatan menghurung bangkai yang busuk. Demikian
mereka mencari kesalahan pemerintah untuk dikerumuni dan dihalalkan.
Golongan pemaki yang bertopengkan agama pula
pula menjadikan kutukan ke atas pemerintah atau bangkangan terhadap sesebuah
kerajaan yang berkuasa sebagai modal cari makan. Mereka juga biasanya mendapat
habuan dunia dengan berbagai aktiviti dan jemputan. Duit orang ramai juga mudah
dikumpulkan untuk apa-apa projek atas tiket semangat menentang kerajaan. Segala
dalil-dalil syarak dipersembahkan dalam bentuk menyanggahi pemerintah.
Kedua-dua golongan ini merosakkan umat dengan kerosakan yang amat besar.
Islam memerintahkan
para ulama dan umat sentiasa menasihati pemerintah. Bukan mengampu atau
memakinya. Nasihat itu adalah tuntutan agama. Nasihat mungkin datang dengan
nada yang lembut. Juga mungkin dengan nada yang tegas. Namun penasihat sentiasa
mengharapkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati. Tidak dinamakan nasihat,
jika kita memujinya sehingga dia tersasar. Juga tidak dinamakan nasihat jika
kita memakinya di khalayak ramai. Daripada Abi Hurairah: Bahawa RasuluLah s.a.w
bersabda: “Sesungguhnya ALLAH meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu
tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan
tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali
ALLAH kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang ALLAH jadikan dia
memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah),
menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak
berfaedah) (Riwayat Malik 2/169)
Para pemerintah hendaklah sedar bahawa golongan yang mentaati mereka ketika
mereka melakukan kemunkaran adalah golongan menjual agama dan tidak jujur
terhadap diri dan pemerintah itu sendiri. Daripada Abi Said al-Khudri, daripada
nabi s.a.w., sabdanya: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada
baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya
untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya
untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang
selamatkan ALLAH. (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158)
Al-Bukhari meriwayatkan: Ada golongan berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk kepada
pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza dengan apa yang kami
cakap apabila kami keluar dari mereka. Kata Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman
Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai nifaq (perbuatan munafiq). (Riwayat
al-Bukhari 6/2626)
Benarlah nasihat Syaiban al-Ra‘i pernah
menasihati Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat
dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman
lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman
sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”. Tanya Harun al-Rasyid:
“Jelaskan maksudnya untukku”. Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada
engkau: “engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah ALLAH” lebih baik
dari orang yang berkata “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah
kerabat Nabi!” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198)
Maksudnya mereka yang
memberi nasihat dengan jujur lebih bermanfaat untuk pemerintah dari mereka yang
mengampu yang sebenarnya merosakkan pemerintah. Sabda Nabi: )“Sesungguhnya
selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan
pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka
dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan
dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar
pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari
kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga).
(Riwayat Ahmad 14/78, al-Nasai 7/160 dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti
yang dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq:
Al-Albani, hlm 337-339)
Ada pula yang berpendapat bahawa ulama yang tidak berani memaki secara
terbuka sebagai ulama pengecut. Namun petunjuk hadis tidak begitu. Sabda Nabi
s.a.w:“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia
menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil
tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya
dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya,
jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya”. (Riwayat
Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh
al-Albani ketika mentahqiq al-Sunnah ini (hlm 507).
Orang politik ramai yang mempunyai ego yang
tinggi. Jika disebut kesalahan di khalayak ramai, maka kemungkinan dia enggan
akur kerana ego politiknya. Jika secara bersendirian, ruang penerimaan itu
lebih mudah. Hadith ini juga menjelaskan bahawa pemerintah mesti terus
dinasihati sama ada dia menerima ataupun menolak. Sekiranya dia menerima, maka
itu sesuatu yang sangat baik untuk dirinya dan umat. Jika dia menolak, pemberi
nasihat telah pun menunaikan tanggungjawabnya. Di samping nasihat juga dapat
mengingatkan dia tentang akibat sesuatu perbuatan atau perkara. Sekalipun jika
dia tidak terima, dia tetap akan tahu nilai perbuatan di sisi syariat ALLAH.
Kata al-‘Adhim al-Abadi: “Kata para ulama: Tidak gugur dari mukallaf
tanggungjawab al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar hanya kerana pada
sangkaan tidak memberi faedah. Bahkan wajib dia melakukannya kerana peringatan itu
memberi manfaat kepada orang beriman”.( Al-‘Adhim al-Abadi, ‘Aun al-Ma’bud,
11/330)
Sabda Nabi s.a.w.:Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil –dalam riwayat
yang lain: yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim.
(Riwayat Al-Nasai 7/161 Abu Daud 4/124, al-Tirmidhi 4/471 dan Ibn Majah 2/1329.
Al-Diya al-Maqdisi menyatakan sanadnya sahih (Al-Diya al-Maqdisi, Al-Ahadith
al-Mukhtarah, 8/110) Hadis ini selalu disalah fahami untuk membolehkan cercaan
terbuka. Jika diteliti hadith ini jelas menunjukkan perkataan yang adil atau
benar itu hendaklah dilakukan di hadapan pemerintah yang zalim, bukan di
belakangnya. Ini membawa risiko yang paling tinggi dalam berdakwah. Adapun
menyatakan kalimat yang benar atau adil dibelakang pemerintah, ramai yang mampu
melakukannya. Begitu juga mencercanya di belakang.
Kata al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd ALLAH bin Baz rh: “Bukan dari Manhaj
al-Salaf (jalan salafussoleh) menghebohkan dan menyebut keburukan pemerintah di
atas mimbar. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada porak peranda dan hilang
ketaatan dalam perkara makruf. Ia membawa kekecohan yang memberi mudarat dan
tidak bermanfaat. Sebaliknya jalan yang ikuti di sisi golongan salaf : Nasihat
antara mereka dengan pemerintah, menulis kepada mereka, atau berhubung dengan
ulama yang mempunyai hubungan dengan mereka”. (Al-Qahtani, Fatawa al-Aimmah fi
Nawazil al-Mudlihammah, hlm 98)
Kata Dr Salih bin Fauzan: “Mereka yang paling
utama untuk melakukan nasihat kepada para pemerintah ialah ulama, cerdik pandai
dan ahli mesyuarat pemerintahan. Firman ALLAH: (maksudnya): Dan apabila datang
kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus
menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada
Rasulullah dan kepada uli al-Amr di antara mereka, tentulah hal itu dapat
diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan). (al-Nisa: 83).
Bukan setiap individu layak untuk urusan ini. Bukanlah sama sekali menghebah
dan menghebohkan kesalahan itu suatu nasihat. Ia bukan Manhaj al-Salaf
al-Salih. Sekalipun maksud pelakunya itu baik iaitu untuk membantah munkar
-seperti yang mereka dakwa-. Namun apa yang dia buat lebih munkar dibandingkan
apa yang dia bantah. Sebabnya, boleh jadi membantah munkar itu juga suatu
kemunkaran. Ini sekiranya tidak di atas jalan yang disyariatkan ALLAH dan
RasulNya, maka ia adalah munkar..”.( Ibid, hlm 124)
Jika Fir‘aun yang
melampaui batas tetap ALLAH .perintahkan Musa dan Harun agar datang
menasihatinya dengan cara yang baik, apatah lagi para pemerintah semasa. Firman
ALLAH: (maksudnya) “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah
melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata
yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut”.( Taha: 43-44)Aliran seperti
inilah yang dipelopori oleh para ulama muktabar sejak zaman dahulu. Dengan itu,
kita akan dapati mereka menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah dengan
tegas, dalam masa yang sama mereka juga taat tidak menentang secara terbuka,
tidak mencerca secara berleluasa dan bekerja sama dalam perkara yang baik.
Sejarah merakamkan watak tegas mereka di hadapan pemerintah, sabar mereka
dengan kerenah pemerintah dan kerjasama mereka dalam urusan kebaikan. Walaupun
mereka mempunyai kekuatan mengumpulkan rakyat, namun para imam Ahl al-Sunnah
tidak keluar menentang pemerintah secara terbuka. Sekalipun di kalangan mereka
ada yang diperlakukan seperti apa yang berlaku kepada al-Imam Ahmad bin Hanbal.
Demikian juga dalam
hal para pemerintah. Makian hanya mengundang keburukan, bukan faedah kepada
Islam. Jika mereka dinasihati dengan baik, jelas, tegas dan tidak menggadaikan
prinsip agama, pemerintah mungkin akan memikir dan menerimanya. Saya percaya
ramai pemerintah dalam banyak keadaan belum mendengar nasihat yang ikhlas, lunak,
tegas dan bernas. Nasihat itu pula disampaikan secara langsung tanpa sebarang
kepentingan diri penasihat. Mungkin apa yang banyak pemerintah dengar adalah
ucapan para pengampu yang mengampu bukan-bukan. Atau para pencerca yang
kegiatan adalah mencerca pemerintah. Atau mungkin juga ada nasihat yang baik,
namun apabila ia datang atas nama seteru politik menyebabkan para pemerintah
salah sangka dengan nasihat tersebut. Pemerintah umat ini masih tandus dan
gersang nasihat-nasihat yang hebat seperti yang pernah diberikan oleh para
ulama terbilang di hadapan para pemerintah yang lampau sehingga menitiskan
airmata mereka.
Kredit
http://drmaza.com/arkib_utusan/?p=13
No comments:
Post a Comment
Jika anda ada sebarang cadangan,kritikan dan ulasan.Sila sertakan di ruang ini.