Friday 13 June 2014

Resensi Buku : Inilah Agama

Gambar Hiasan

Kekerdilan manusia dalam menyelesaikan permasalahan mereka berlandaskan aqal amat terhad.Manusia tidak mampu menyediakan satu alternative baik yang boleh menjamin kebahagian mereka di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.Maka dengan itu agama turun kepada manusia bukan sahaja dalam aspek pengabdian kepada Allah semata-mata tapi menyediakan alternatif baik untuk manusia dalam segenap aspek kehidupan.

Islam sebagai penyelesaian

Hasil kegagalan ideology manusia berlandaskan aqal dan hawa nafsu.Islam datang sebagai panduan kepada manusia dalam menyusun dan menyelesaikan masalah ummat baik samada dari politik,ekonomi,social dan pendidikan.

Kesemua panduan hidup manusia yang terkandung dalam Islam bersumberkan al-Quraan dan Hadis.Menjadi kesalahan manusia pada hari ini khususnya ummat Islam adalah ketidakyakinan mereka memahami manhaj Ilahi sesuai seluruh tempat dan sepanjang zaman.

Kebangkitan ummat Islam dalam mendaulatkan syariatullah hasil dari beberapa factor agama itu sendiri.Pertamanya,agama Islam sesuai dengan fitrah manusia,kedua sejarah keberkesanan syariat ini dalam membawa alternatif dan rahmat kepada manusia.

Agama semestinya selari dengan fitrah insaniah.Tiada agama dalam dunia ini melainkan Islam yang menghubungkan fitrah insaniah dengan aqidah hakiki.Segala sifat-sifat baik yang ada pada diri manusia perlu dihala kepada system yang betul berpandu suluhan wahyu.Sistem-sistem jahiliah yang ada kini telah menghapuskan fitrah dari berhubung dengan agama Ilahi menyebabkan kerakusan,kezaliman dan penindasan manusia bermaharajalela hasil ketamakan nafsu buas manusia.

Ini sudah terbukti bahawa agama telah membawa peradaban dan kemodenan sesebuah ummat.Kegemilangan kepimpinan Khalifah ar-Rasyidun,Umaiyah,Abbasiyah dan Uthmaniyah sedikit sebanyak menyumbang kemodenan dan perkembangan ilmu yang pesat dalam sejarah dunia.Kejayaan ini dirasai bukan sahaja orang Muslim bahkan non-Muslim yang berlindung di wilayah orang Islam.Aset pengalaman ini perlu diingati oleh generasi akan datang dalam membawa perbaharuan ke arah kemodenan dan peradaban bangsa ke arah yang lebih baik.

Ciri-ciri agama rahmat untuk semua

1.      Manhaj Untuk Manusia

Kewujudan manusia di muka bumi ini tidak dapat lari dari keperluan mereka untuk berinteraksi sesame manusia lain,berhajat kepada panduan yang boleh menyelesaikan permasalahan hidup mereka berlandaskan suluhan wahyu.Oleh itu, tidak dapat tidak manhaj Ilahi ini perlu didokong dalam mendaulatkan nya sebagai dustur yang paling tinggi.Manhaj ini hanya dapat dipikul oleh sekumpulan manusia yang benar beriman dan menyakini kebenaran manhaj ini rahmat buat manusia.

“Dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.”

(Surah al-Ankabut ayat 69)

1.      Manhaj Yang Unggul

Panduan yang bersumberkan al-Quraan dan Hadis amat berbeza berbanding panduan yang diciptakan oleh manusia.Inilah yang menjamin keunggulan Islam berbanding ideology lain di dunia ini.

Islam agama bersifat Rabbani bermakna ia agama Ilahi dan sunyi dari sifat manusiawi yang terpengaruh dengan hawa nafsu,inginan yang melampau, dan unsur-unsur penindasan dan kezaliman
1.      Manhaj Yang Mudah

“Manusia tidak mampu bertahan lama dengan agama unggul ini”
“Agama Islam yang diwahyukan ini bersifat mengekang kehendak manusia”

Kedatangan Islam untuk diaplikasikan oleh manusia sekaligus meruntuhkan jahiliah suatu matlamat yang perlu dicapai. Kepincangan demi kepincangan yang timbul hasil daripada  kejahilan dan pemisahan agama dari kehidupan manusia menyebabkan manusia tiada alternatif lain kecuali kembali kepada agama Allah.

Walaupun tohmahan demi tohmahan yang dilihat agama ini mengokong kebebasan manusia tapi ia memberi kebebasan manusia dari belenggu hawa nafsu dan perasaan buruk.

Hukum zina yang mengekang perasaan manusia daripada menurut keinginan seks sebenarnya perlu dilihat ia membebaskan jiwa manusia daripada kongkongan nafsu yang tiada batas.

Pensyariatan zakat harta golongan kaya kepada golongan miskin bukan suatu kongkongan tapi ia membebaskan manusia daripada bersifat kedekut dan mementingkan diri-sendiri.Mendidik manusia bersikap adil dan tidak menindas golongan lemah.

Itulah kekuatan yang dilihat pada zahirnya kekangan hawa nafsu.Malah,kekangan ini sedikit sebanyak membangun sifat insaniah dalam diri manusia.Kedudukan paling rendah sekali jika manusia dari tidak patuh dari aturan ini berdasarkan firman Allah taala.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan Dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang Yang rendah, Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala Yang tidak putus-putus.”


(Surah at-Tiin ayat 4-6)

Bekalan buat Ummat
Kejatuhan ummat Islam dalam tampuk pemerintahan memberi peluang kepada pendokong taghut dan ideology jahiliah memegang kuasa politik.Sisa-sisa jahiliah ini sedikit sebanyak menjadi racun jangka panjang ummat Islam sehingga gagal mengenal Islam yang sebenar yang dibawa oleh nabi s.a.w.

Pada bab akhir ini Sayyid Qutb mendatangkan beberapa dasar penting yang menjadi kemuliaan ummat Islam pada masa kini.Antaranya manusia satu bangsa yang sama yang tiada kemuliaan antara satu sama lain kecuali takwa kepada Allah.

Keturunan,warna kulit, dan ras tidak menjamin kemuliaan disisi Allah dan kepelbagaian ini bukan alasan untuk mereka bersikap asabiah,tindas menindas dan menzalimi satu sama lain tetapi dijadikan titik tolak untuk kenal-mengenal dan beramah mesra.Sesuai dengan firman Allah :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah al-Hujurat ayat 13)

Selain dari satu bangsa manusia,Islam menghormati kemuliaan insani yang ada dalam diri manusia.Segala bentuk kezaliman seperti system kasta,perhambaan sesame manusia,korupsi, dan sebagainya bertentangan dengan Islam sesuai dengan firman Allah s.w.t

Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.
(Surah al-Isra ayat 70)

Sejajar dengan itu,kedatangan Islam di muka bumi tidak lain tidak bukan membawa system yang unggul,universal dan sesuai dengan fitrah insani.Sistem rabbani ini tidak mampu dicabar dengan ideology-ideologi yang ada di muka bumi ini yang bersifat paksaan dan zalim dalam pengaplikasian dalam masyarakat.Akidah sebagai teras perpaduan dan Islam menolak unsur paksaan dalam menerima agama sebagai panduan dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Tidak ada paksaan Dalam ugama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) Yang teguh Yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
(Surah al-Baqarah ayat 256)

Kesimpulan
Buku “Inilah Agama” kaya dalam membentangkan permasalahan masyarakat kini yang tidak mampu diselesaikan oleh ideology ciptaan manusia.Tetapi persoalan dan permasalahan ini hanya mampu diselesaikan dengan inisiatif kembali kepada agama wahyu ini dalam kehidupan manusia. Supaya dengan menghayatan indahnya beragama dapat dikecapi samada ummat Islam mahupun non-Muslim.

Nik Mohamed Heidzir
Irbid,Jordan.

No comments:

Post a Comment

Jika anda ada sebarang cadangan,kritikan dan ulasan.Sila sertakan di ruang ini.